KUALA LUMPUR | Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air atau Wakaf Air merupakan inisiatif kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi membantu pembiayaan projek perkhidmatan air berskala kecil untuk golongan yang memerlukan.
YWM menerusi laman Facebooknya memaklumkan, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah RM167,211 telah dibelanjakan bagi tujuan membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil.
Katanya, jumlah itu membabitkan lima projek wakaf iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.
“Bagi projek di Kampung Padang Durian, Kedah jumlah sebanyak RM43,450; Kampung Sungai Mengkuang, Dabong, Kelantan RM40,525; Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor RM34,776; Kampung Masjid Ehsaniah, Beruas, Perak RM3,910 dan Kampung Sungai Sendat, Ulu Yam, Selangor RM42,650.
“Alhamdulillah. Semoga sumbangan ini dapat merancakkan lagi amalan berwakaf di Malaysia tidak kira sama ada di YWM atau di Majlis Agama Islam Negeri.
“Justeru, dapat membantu lebih ramai pihak dalam semua aspek kehidupan. Terima kasih para pewakaf dan wakaf anda, sinar buat mereka,” katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, bagi yang mahu menyumbang boleh melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia di https://www.ywm.gov.my/wakaf-online atau terus menyalurkan sumbangan Wakaf Air ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank di 21245760001304.