PUTRAJAYA | Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang bertindak sebagai indikator kepada pergerakan ekonomi ke hadapan secara keseluruhan bertumbuh perlahan kepada 6.9 peratus pada Mei bebanding 15.7 peratus pada April lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata keadaan itu menyebabkan Malaysia dijangka akan menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan.
Katanya, pertumbuhan itu didorong oleh import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain serta Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan menjadikan IP menurun sebanyak 2.9 peratus bulan ke bulan.
“Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-1.2%) terutamanya platinum adalah antara komponen yang mendorong penurunan IP.
“Kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend. Bagaimanapun, ia bergerak menurun dan ekonomi Malaysia dijangka akan menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan.
“Kemunculan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya telah mencetuskan sentimen pesimis di peringkat global dan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas Penunjuk Ekonomi Malaysia : Indeks Pelapor, Serentak dan Susulan bagi Mei 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Katanya, sekatan pergerakan yang berpanjangan untuk melindungi nyawa boleh mempengaruhi prospek pemulihan.
“Dari perspektif Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan prestasi ekonomi pada bulan rujukan, IS perlahan kepada 10 peratus pada Mei setelah mencatatkan pertumbuhan tahunan 20.2 peratus pada April.
“Sebaliknya, prestasi bulanan IS menurun 1.3 peratus pada Mei dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-1.2%), terutamanya disebabkan oleh kejatuhan 15.8 peratus dalam Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan.
“Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai,” menurutnya.
Katanya, semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita.
Tamat