SHAH ALAM | Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal menguruskan mandat rakyat ketika menjadi kerajaan, malah gagal dalam menunaikan manifesto mereka, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Dalam satu kenyataan Ahmad Yunus berkata, setelah diberikan sebuah kerajaan, PH asyik bercakaran untuk berebut jawatan Perdana Menteri.
“Genetik Langkah Kajang memang telah membarah dalam kalangan PH. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia Perdana Menteri (yang mereka dewa-dewakan) meletak jawatan lalu Kerajaan Perikatan Nasional inilah yang mengambil tanggungjawab untuk mengurus negara kita.
“Tak dapat dibayangkan oleh seluruh rakyat Malaysia sekiranya mereka masih mentadbir negara Malaysia yang kita cintai, wirid PH, ‘Malaysia sudah tidak ada duit disebabkan telah habis digunakan oleh kerajaan sebelum itu’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ekoran wirid tersebut, kerajaan PH meminjam wang dari negara matahari terbit, Jepun.
Katanya, sekiranya PH masih memerintah, entah berapa banyak lagi mereka akan pinjam dari negara luar.
“Hakikatnya semenjak PN mentadbir negara ini, tidak pun meminjam sumber kewangan dari negara luar. Ada saja sumber kerajaan dan untuk mengurus negara dalam menangani wabak Covid-19, dan beratus billion jumlahnya.
“Harus diingat, kegagalan mereka menghalang pelancong dari negara China menyebabkan perebakan Covid-19 di Malaysia pada peringkat awal.
“Teringat saya genetik PH menyatakan Selangor masih belum kritikal apabila Kerajaaan Persekutuan akan memerintahkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara seolah-olah yang mereka mahu atasi adalah nombor dan bukan nyawa rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, tidak ada apa yang mahu diharapkan oleh rakyat Malaysia terhadap PH.
Ujarnya, hal ini kerana yang nyata dikejar oleh mereka adalah jawatan bukan kesejahteraan rakyat yang harus diperjuangkan.
“Sidang Khas Parlimen yang akan berlangsung untuk membahaskan kelangsungan kesejahteraan rakyat, sudah ada bunga-bunga untuk dijadikan gelanggang untuk menukar kerajaan.
“PH ni tidak serik, hanya sekadar beretorika semata-mata,” katanya