KUALA LUMPUR | Hampir semua guru sudah menerima vaksin COVID-19 susulan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka, bermula pada 1 September ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan guru, kumpulan sokongan seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan pengusaha kantin (divaksin).
“Susulan pembukaan sekolah secara berperingkat, kita sudah memberikan vaksin kepada hampir semua guru.
“Kita akan memaklumkan perkembangannya pada minggu hadapan.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan sekolah menjadi persekitaran yang selamat kepada semua pihak terutama pelajar,” katanya menerusi sidang media secara maya hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.