KUALA LUMPUR | Majlis Belia Malaysia (MBM) dan badan gabungan MBM menyifatkan peruntukan RM7 juta di bawah Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) satu pengiktirafan buat mereka.
Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, ia membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urus tadbir pertubuhan belia bagi tahun 2021.
“Bantuan ini juga merupakan pengiktirafan berterusan Kerajaaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican dan timbalannya Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal terhadap MBM sebagai rakan strategik utama pembinaan negara dan pemegang taruh utama pembangunan belia.
“Peruntukan ini sudah tentu memanfaatkan dan meringankan beban kepada MBM dan 145 badan badan gabungannya yang terdiri daripada 19 Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan, 14 Majlis Belia Negeri (MBN), 105 Majlis Belia Daerah (MBD) dan 6 Pertubuhan Badan Beruniform (PBU),” katanya yang turut berterima kasih kepada kerajaan.
Dalam masa sama, MBM ingin menasihatkan kepada diri sendiri dan seluruh badan gabungan agar menggunakan amanah wang rakyat dengan penuh integriti dan berhemah.
“Semoga bantuan ini menjadi pembakar semangat untuk terus menghakupayakan belia di semua lapangan dan membantu rakyat yang sedang berada dalam kesusahan.
“Di kesempatan ini juga, MBM ingin menyeru kepada diri sendiri dan badan gabungan untuk meningkatkan iltizam dan komitmen bagi memperkasakan pengurusan dan pentadbiran masing-masing dengan azam #kosongmasalahMYKD.
Seruan seterusnya ialah menjadi lebih inklusif dengan terus menyantuni pelbagai kelompok belia dan memperjuangkan bersungguh-sungguh isu dan suara mereka.
“Menggandakan kerja-kerja kesukarelaan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan di lapangan sebagaimana yang berjalan sebelum ini.
“Menghasilkan idea, polisi dan program yang baik untuk membangunkan negara demi melihat masa depan yang lebih cemerlang.
“Menumpukan program pengkaderan dan kepimpinan pelapis muda dengan memperlengkapkan mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan kepimpinan dan kepengikutan,” katanya.
Harapan beliau, demoga gerakan belia terus berperanan menjadi wadah berkesan melahir dan mendidik belia dan warga Malaysia menjadi insan bertaqwa dan menyumbang kepada masyarakat dan negara.