KUALA LUMPUR | Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang lebih 38.9 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta individu di Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu membabitkan 48.4 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam negara.
Katanya, PKS juga menyumbang sebanyak 17.9 peratus daripada nilai eksport negara.
“Bagi membantu PKS, saya melancarkan program JanaNiaga, yang merupakan program untuk membantu vendor PKS kepada Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). PKS merupakan komponen yang sangat penting dalam ekonomi Malaysia.
“Alhamdulillah, berita baik untuk vendor-vendor PKS yang selama ini risaukan aliran tunai mereka.
“Platform JanaNiaga ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama. Bantuan kepada PKS ini akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan melalui platform JanaNiaga ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan secepat mungkin, peruntukan sebanyak RM300 juta telah disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga.
Katanya, jumlah itu dijangka akan mencecah RM1.2 bilion dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.
“Dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah ini bakal menyumbang sebanyak RM4.8 bilion setahun kepada pencairan tunai PKS.
“Platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal GLC menerusi portal digital. Dengan sokongan GLC, pembekal PKS ini akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus/tahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan yang boleh diperolehi pada kadar biasa.
“Permohonan pembiayaan juga dibuat secara talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dan disalurkan dalam 24 jam,” katanya.
Beliau berharap PKS akan mengambil peluang itu untuk meningkatkan lagi produktiviti perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi negara secara berterusan, Insya-Allah.