CYBERJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam Internet.
MCMC dalam satu kenyataan terbaharunya hari ini, berkata, kebanyakan produk berkenaan dijual dari laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara dan ia tidak tertakluk kepada akta di dalam
Malaysia.
Menurutnya, sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.
“Pengguna juga akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna dari platform berkenaan jika kualiti produk yang telah dibeli melalui gimik jualan
murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna.
“Justeru, sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai adalah digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian,” katanya hari ini.
MCMC mengingatkan kepada semua untuk sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.
Di samping itu katanya, teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang, bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.