KUALA LUMPUR | Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah mengesan kewujudan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.
Pengarahnya, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasar kes yang dilaporkan, sindiket penipuan akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun sekiranya pihak mangsa membenarkan mereka untuk melunaskan bayaran tunggakan bil utiliti mangsa.
Menurutnya, pihak sindiket memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan oleh pihak mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai.
“Setelah mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket akan menggunakan cek-cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.
“Setelah pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak sindiket kemudiannya akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada pihak mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.
Katanya, mangsa hanya akan sedar telah ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan.
Tambahnya, sehingga kini, satu laporan polis telah diterima di kuala lumpur pada bulan julai lalu melibatkan kerugian berjumlah RM8,500 dan kes masih dalam siasatan.
Katanya, pihak polis menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket ini untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut kongsikan beberapa tips yang boleh dipraktikkan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan kes-kes sebegitu.
Pertama katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani sebarang panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
Kemudiannya, segala pembayaran bil utiliti hendaklah dibuat secara terus kepada penyedia perkhidmatan yang sah.
Orang ramai juga disarankan untuk menggunakan portal semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon dan nombor akaun bank yang diragui.
“Hubungi ccid scam response centre melalui talian 03- 26101559 / 1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil,” katanya.