KUALA LUMPUR | Terdapat 30 kluster COVID-19 baharu yang direkodkan dan 16 daripadanya adalah kluster komuniti.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, negeri Kelantan dan Johor mencatatkan kluster tertinggi masing-masing dengan enam kluster.
Katanya, negeri lain iaitu Selangor merekodkan lima kluster, diikuti Sabah empat kluster dan Sarawak serta Perak masing-masing tiga kluster. Kuala Lumpur dua kluster dan Terengganu satu kluster.
“Kategori kluster iaitu 16 komuniti, lapan di tempat kerja, empat kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster bagi keagamaan serta institusi pendidikan.
“Kluster yang aktif direkodkan sebanyak 958, manakala kluster yang tamat 2,433,” katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Katanya, jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak 3,391.