KUALA LUMPUR | “Tidak ada percanggahan antara jawapan yang diberikan saya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” kata Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang tular di media sosial berkenaan isu penerima vaksin yang tidak dibenarkan mengambil gambar atau video ketika disuntik.
Jelasnya, kenyataan yang dibuatnya itu adalah pagi semalam selepas ditemu bual oleh media arus perdana.
“Orang ramai membandingkan kenyataan saya semalam dengan keputusan yang diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
“Untuk makluman, kenyataan saya semalam adalah berdasarkan keputusan yang ditetapkan kerajaan sebelum ini, manakala kenyataan Menteri adalah ketetapan yang dibuat pada hari ini. Oleh itu, kenyataan saya hanya terpakai sehingga semalam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Khairy dalam sidang media bersama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan arahan membenarkan penerima suntikan vaksin mengambil gambar dan video di pusat pemberian vaksin (PPV).
Kebenaran itu diberikan agar dapat membantu meningkatkan keyakinan penerima dan membantu semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik.
Ahmad Amzad berkata, beliau sendiri bersetuju dengan kebenaran yang diberikan khusus dalam suntikan vaksin kerana ia mampu mengelakkan orang ramai membuat andaian bukan-bukan.
“Kekeliruan ini timbul bila mana berita menyiarkan jawapan saya kepada soalan wartawan pada 22 Julai ( Khamis ) disiarkan pada hari ini, 23 Julai ( Jumaat ) sedangkan terdapat keputusan terkini dibuat pada hari ini,” katanya.