PUTRAJAYA | Kerajaan bersedia melonggarkan had hutang semasa bagi menyediakan suntikan fiskal tambahan untuk terus memelihara kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut akan dilaksanakan kerajaan sekiranya pandemik COVID-19 di negara ini semakin parah.
“Buat masa ini kemampuan kewangan kerajaan adalah terhad, walau bagaimanapun sekiranya keadaan bertambah buruk kerajaan sedia untuk melonggarkan had hutang semasa.
“(Ini) bagi menyediakan suntikan fiskal tambahan untuk terus memelihara kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya malam ini.
Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu berkata demikian menerusi siaran langsung AGENDA AWANI – Strategik Keluar Pandemik COVID-19 Secara Holistik.
Mengulas lanjut mengenai kemampuan kerajaan untuk memperkenalkan pelan seterusnya kepada rakyat, Tengku Zafrul berkata, pendirian fiskal kerajaan adalah berdasarkan kepada beberapa prinsip yang menjadi panduan, termasuk ruang fiskal dan fleksibiliti, kecairan domestik yang mencukupi untuk pembiayaan kerajaan.
“Kita pun nak mematuhi peraturan lebihan fiskal dan baki semasa, serta mesti memastikan kemampanan fiskal dan hutang dan berserhana.
“Kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan juga kemampanan fiskal,” katanya.
Katanya, kerajaan juga akan menyusun semula perbelanjaan mengikut keutamaan, khususnya perbelanjaan menolong rakyat, perniagaan dan juga yang memberi kesan berganda kepada ekonomi.