PUTRAJAYA | Kerajaan mengubah dasar dan melaksanakan program serta projek pembangunan untuk masyarakat Orang Asli bagi meningkatkan taraf hidup berikutan pembangunan sosioekonomi mereka agak ketinggalan.
Menteri (Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pada 2019, insiden kemiskinan di kalangan Orang Asli adalah kira-kira 33.6 peratus menyebabkan tahap pendidikan yang rendah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini.
Katanya, infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi juga turut menjejaskan kesejahteraan komuniti ini.
“Isu berkaitan pembangunan tanah Orang Asli juga menjejaskan sosioekonomi mereka. Selain itu, pembangunan Orang Asli juga harus merentasi kementerian, bukan hanya bergantung Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pembanguan Luar Bandar (KPLB).
“Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan dipertingkat bagi memastikan komuniti tersebut boleh menikmati pembangunan sosioekonomi negara dengan lebih bermakna.
“Pendekatan pembangunan yang komprehensif dengan tumpuan kepada pendidikan, menumpukan kepada usaha mengurangkan kemiskinan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua inisiatif itu dijangka membantu pencapaian pembangunan yang inklusif serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli.
Pada masa ini, katanya, Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif sedang dimuktamadkan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli.
“Pertemuan ketiga kumpulan pemikir ini akan diadakan dalam tempoh sebulan lagi membincangkan isu kemiskinan di Sabah dan Sarawak. Diikuti isu kemiskinan bandar pada pertemuan keempat,” katanya.
Tamat