PUTRAJAYA | Sebanyak 156,625 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dilaksanakan dalam tempoh semalam dan kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelmarin sebanyak 78,604 pemeriksaan manakala semalam pula terdapat 78,021 pemeriksaan telah dijalankan.
Menurutnya, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Semalam pemeriksaan ke atas 1,756 buah kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 buah asrama penempatan pekerja telah dibuat.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 66 premis meliputi kilang (16), premis perniagaan (49) dan tapak pembinaan (1) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin pula, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 1,735 buah kilang, 15,285 premis perniagaan, 771 tapak pembinaan dan 266 buah asrama penempatan pekerja.
Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 34 premis meliputi empat kilang dan 30 premis perniagaandiarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, semalam juga 29 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditangkap.
Sementara tujuh PATI diusir keluar melalui dua aktiviti pengusiran dalam Operasi BENTENG yang dilaksanakan di seluruh negara.
Op BENTENG melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain.