BACHOK | Sebuah menara milik Redtone yang dikongsi bersama dengan Celcom, Digi dan Maxis telah tumbang dipercayai akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kampung Gelong Badak, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 7 petang itu
menyebabkan gangguan liputan komunikasi dan internet dijangka berlaku bagi pelanggan Celcom, Digi dan Maxis di kawasan sekitarnya.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Kelantan, Abdul Mubin Mohd Zain dan wakil Redtone Pantai Timur, Zulkifli Nawi berbincang dan meninjau keadaan struktur menara komunikasi di Kampung Gelong Badak, hari ini.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, pihaknya dan Redtone turun ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengatasi masalah liputan yang terganggu akibat kejadian berkenaan.
“Sebagai langkah awal, sebuah menara sementara Base Transceiver Station (BTS) akan didirikan di lokasi kejadian dengan secepat mungkin bagi memberikan perkhidmayan kepada penduduk setempat buat sementara waktu.
“Kerja-kerja memulihkan liputan dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini,” kata menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.