PUTRAJAYA | Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengingatkan mana-mana individu, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi PATI atau mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah, bakal berdepan dengan hukuman berat mengikut Akta dan Peraturan Imigresen tanpa kompromi.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI adalah warga negara asing yang berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah, tinggal melebihi tempoh Pas Lawatan Sosial atau Pas jangka panjang yang diberikan.
Katanya, mereka yang didapati bersalah berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 6(1)(C) dan 15(1)(C) dan akan diusir keluar setelah menjalani hukuman berkenaan serta disenarai hitam dari memasuki Malaysia.
“Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa melindungi PATI adalah satu kesalahan dibawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman DENDA tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000.
“Sekiranya individu atau organisasi berkenaan melindungi lebih daripada lima orang PATI, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Dzaimee berkata, sejak tahun 2019 sehingga 2021 seramai 979 orang individu telah dikenakan tindakan kerana melindungi PATI.
Katanya, bagi majikan yang menggaji PATI pula boleh disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil.
“Jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.
“Pada tahun 2019, seramai 1,052 majikan didenda membabitkan nilai keseluruhab berjumlah RM19,327,900; bagi 2020, sebanyak 509 majikan didendan melibatkan jumlah RM10,456,600 dan untuk tahun ini, hanya 130 majikan dikenakan denda yang berjumlah RM3,289,000,” katanya.
Beliau berkata, jumlah terkumpul majikan dan denda yang dikenakan bagi tempoh ini ialah seramai 1,701 orang majikan dan denda sebanyak RM33,073,500.
Ujarnya, JIM menasihatkan supaya majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja supaya segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember.
“Setakat semalam, seramai 155,124 orang PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 102,592 orang PATI telah mendaftar dalam program Rekalibrasi Pulang.
“PATI yang telah berdaftar dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin Covid-19 bersama warga asing lain yang tinggal di Malaysia,” katanya.