JOHOR BAHRU | Mesej tular di media sosial yang memaklumkan orang ramai boleh mengisi borang pendaftaran vaksin “vaksin Pfizer, kuota TMJ” adalah palsu.
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa borang tersebut adalah borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.
“Borang yang ditularkan tersebut adalah merupakan borang pendaftaran vaksin yang digunakan oleh urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya Johor Bahru yang masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin.
“Sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my,” katanya.
MBJB berkata, untuk makluman warga bandar raya juga, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV tersebut bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin.
Sehubungan ini, MBJB turut menafikan sebarang makluman yang mengatakan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV.
“Dalam usaha mencapai sasaran lebih 80 peratus rakyat Negeri Johor mendaftar pengambilan vaksin COVID-19, sehingga 22 Julai, pihak Southern Volunteers Johor Bahru bersama- sama MBJB telah berjaya mendaftarkan seramai 30,008 warga bandar raya Johor Bahru bagi pengambilan vaksin,” katanya.
Dalam masa masa, kenyataan memaklumkan program pendaftaran vaksin tersebut akan diteruskan sehingga 23 Julai 2021 (hari ini).
“Warga bandar raya digalakkan untuk segera mendaftar vaksin bagi memastikan imuniti kelo dapat dicapai dan seterusnya melindungi diri, keluarga dan masyarakat dari penularan wabak COVID-19,” katanya.
MBJB mengingatkan warga bandar raya agar sentiasa menyemak maklumat yang diterima serta merujuk kepada saluran-saluran rasmi berkaitan maklumat vaksin COVID-19 sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, JKJAV, Majlis Keselamatan Negara, Southern Volunteers atau MBJB.
“Tidak pasti jangan kongsi, elakkan kekeliruan dan kesilapan menerima maklumat,” katanya.