PUTRAJAYA | Mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri telah melibatkan pelbagai pihak.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MPN dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan (Menteri Penyelaras), Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Kanan Pendidikan.
Selain itu ia turut melibatkan Menteri Kanan Luar Negeri, Menteri Kesihatan, Menteri Sains dan Teknologi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara.
Menurut Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu juga, selaras dengan pendekatan PPN yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan whole-of-nation, MPN telah bersetuju untuk menjemput wakil-wakil dari parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang sebagai ahli MPN.
“Di samping itu, MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil dari Kerajaan-Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menganggotai Majlis.
“Seterusnya, MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pakar yang terlibat, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar, Tan Sri Anthony Fenandes, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzarman dan Datuk Seri Wong Chun Wai.
Turut terlibat adalah Datuk Michael Kang, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Datuk Dr Hartini Zainuddin dan Dr Sivakumar Thurairajasingam.
Tambah Tengku Zafrul, keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar daripada pelbagai sektor akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersitat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.
“MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan; peningkatan usaha vaksinasi; penyelarasan, pelaksanaan dan ketberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan Kerajaan dalam tempoh pemulihan.
“Seterusnya, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai 2021,” katanya.