PUTRAJAYA | Suasana Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berperingkat secara bersemuka yang bermula pada 1 September ini akan dipastikan berjalan dalam keadaan selamat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia berkait dengan vaksinasi warga pendidik.
“Hampir semua guru sudah divaksinasi, kita akan pastikan bukan sahaja guru tetapi juga kakitangan sokongan, pentadbir dan kakitangan sokongan termasuk tukang cuci, pengendali kantin divaksin,” katanya dalam sidang media Mingguan Perkembangan Vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.
Sidang media secara maya itu turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkata, kementerian berusah keras untuk memastikan persekitaran persekolahan berada dalam keadaan selamat apabila dibuka 1 September ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.
Sehingga 16 Julai seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Mengambil kira kadar vaksinasi berkenaan Kementerian Pendidikan telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September 2021.