PUTRAJAYA | Perdana Menteri yakin Majlis Belia Malaysia (MBM) akan terus bekerja rapat dengan kerajaan untuk membantu dan membawa suara generasi muda dari peringkat akar umbi agar sentiasa didengari serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.
Keyakinan tersebut dizahirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin seiring dengan usia MBM sudah berusia 73 tahun kewujudannya.
Menurutnya, sejak penubuhannya, MBM selaku organisasi yang menaungi golongan belia telah memainkan peranan penting membantu dan membawa suara belia untuk perhatian kerajaan.
“Sebagai golongan yang termasuk dalam senarai yang diberikan tumpuan oleh Kerajaan khususnya ketika pandemik COVID-19, belia tentunya memerlukan perantara atau orang tengah yang boleh menjadi penyambung suara mereka di pelbagai peringkat.
“Seiring usia penubuhannya, saya yakin MBM akan terus bekerja rapat dengan Kerajaan untuk membantu dan membawa suara generasi muda dari peringkat akar umbi agar sentiasa didengari serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkenaan. Insya-Allah,” tulis beliau di facebooknya hari ini.
Ujar beliau, sudah pasti, MBM selaku organisasi yang mewakili suara orang muda boleh dan telah memainkan peranannya dalam aspek tersebut.
“Selamat Ulang Tahun Ke-73 MBM!” ucap beliau.
Sementara itu, Naib Presiden MBM, Sherhan Nizam Abdul Aziz, menerusi facebooknya turut berkongsi sejarah perjalanan MBM.
“MBM mempunyai sejarah perjalanan yang panjang. Bermula sebelum merdeka, pada tahun 1948 sehingga kini 2021.
“23 Julai adalah tarikh ulang tahun dan keramat buat MBM,” tulis beliau.
Beliau turut mengenang jasa dengan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan terdahulu sehingga kini yang telah mencorak perjalanan MBM.
“Tarikh ini juga tidak dilupakan kepada sahabat baik MBM yang berkongsi tarikh ulang tahun yang sama iaitu DPP KNPI – Komite Nasional Pemuda Indonesia pada 23 Julai.
“Selamat Ulang Tahun MBM Ke-73 Tahun dan Dirgahayu KNPI Ke-48 Tahun,” katanya.
Journal Malaysia juga turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada MBM dan diharapkan akak terus menjadi mata serta telingat untuk kerajaan.