PUTRAJAYA | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa pemain industri ayam supaya segera memastikan pekerja masing-masing didaftarkan untuk mendapatkan vaksinasi.
Dalam satu kenyataan hari ini, tindakan itu penting untuk mengelakkan pekerja ladang ayam terdedah kepada jangkitan yang membawa kepada penutupan dan menambahkan lagi risiko kerugian kepada penternak ayam.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan mengambil kira prestasi Program Vaksinasi Kebangsaan pada masa ini, kementerian yakin lebih banyak sektor yang menyokong permintaan terhadap bekalan ayam akan dapat dibuka tidak lama lagi khususnya di negeri-negeri yang telah berada di di Fasa 2.
“Program vaksinasi ini dapat memulihkan semula permintaan bekalan ayam dalam pasaran apabila lebih banyak sektor peruncitan seperti perkhidmatan penyediaan makanan dapat dibuka dan dine-in dibenarkan.
“Kementerian juga mempunyai sebuah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) yang akan dilaksanakan dan menggalakkan lebih banyak peniaga mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja masing-masing supaya lebih banyak lagi sektor dibuka untuk beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, KPDNHEP sentiasa memantau kecukupan bekalan ayam dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan disebabkan kenaikan kos pengeluaran iaitu makanan ternakan ayam dengan menaikkan harga ayam di pasaran secara tidak munasabah.
Tambahnya, pemeriksaan dan tindakan dilaksanakan secara harian di setiap rantaian pengedaran bekalan meliputi ladang, pemborong, pengedar dan peruncit.
“KPDNHEP memandang serius berhubung situasi yang dihadapi oleh industri ayam ini dan usaha berterusan dilaksanakan iaitu mengadakan sesi libat urus bersama kementerian, agensi dan industri bagi memastikan operasi perniagaan diteruskan dengan sebaiknya sepanjang pandemik ini.
“Usaha ini juga adalah untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang kenaikan harga barangan keperluan utama disebabkan cabaran yang dihadapi oleh industri.
“Tindakan proaktif juga sudah diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain industri yang terdiri dari pengimport, pengeluar, pembekal makanan ternakan dan penternak bagi mencari solusi terbaik dalam menangani masalah ini,” katanya.
Tamat