By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Klinik Wakaf Siku di sini, terpilih sebagai klinik swasta di negeri ini yang dilantik menjadi pusat pemberian suntikan vaksin Covid 19 bagi fasa kedua.
Pengurus Besar Klinik Wakaf Siku, Datin Zahira Mustapha berkata, pihaknya membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pusat pemberian suntikan vaksin pada Februari lalu.
Katanya, setakat ini seramai 54 orang sudah menerima suntikan vaksin di Klinik Wakaf Siku dan kebanyakan mereka berumur 55 tahun keatas.
“Suntikan vaksin yang pertama membabitkan seramai 18 orang pada 19 Julai lalu dan diikuti 36 orang pada hari semalam.
“Kebanyakan penerima vaksin yang tersenarai yang dihubungi oleh petugas kami bersetuju dengan temu janji ditetapkan untuk mendapatkan suntikan berkenaan,” katanya ketika ditemui meninjau proses pemberian suntikan vaksin di Klinik Wakaf Siku di sini, semalam.
Menurutnya, kesedaran orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin amat tinggi dan kebenaran yang diberikan kerajaan kepada klinik swasta dapat membantu usaha meningkatkan jumlah mereka yang divaksinkan di negeri ini.
Katanya, pihaknya berharap lebih ramai penerima vaksin dapat dihantar ke klinik swasta yang dilantik bagi memberi pilihan kepada mereka yang mahukan temu janji suntikan berkenaan.
Sementara itu, pesara kerajaan, Mohd Nor Idris, 61, mengakui proses suntikan vaksin Covid 19 di Klinik Wakaf Siku mudah, cepat dan selesa bagi mereka yang berstatus warga emas sepertinya.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada petugas Klinik Wakaf Siku untuk temu janji suntikan vaksin tiga hari sebelum sambutan Aidiladha.
“Saya bersyukur kerana dapat temu janji untuk suntikan vaksin dalam tempoh yang cepat dan proses pendaftarannya juga yang mudah.
“Dapat temu janji suntikan vaksin di klinik swasta tidak perlu beratur panjang selain tempat yang selesa,” katanya yang berasal dari Pantai Sabak Pengkalan Chepa.
Bagi Ripin Mohamad, 61, langkah kerajaan memberi kemudahan temu janji di klinik swasta dapat membantu mempercepatkan peratusan rakyat mendapat suntikan vaksin Covid 19.
Katanya, dia berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mendapat temu janji suntikan vaksin di klinik swasta yang terpilih sebagai pusat pemberian vaksin.
“Kalau suntik vaksin di klinik swasta, orang tidak terlalu ramai, malah proses daftar dan proses suntikan cukup mudah, cepat selain tempat yang selesa.
“Saya harap ahli keluarga saya yang lain turut terpilih untuk temu janji di klinik swasta yang terpilih sebagai pusat pemberian vaksin seperti di Klinik Wakaf Siku kerana jaraknya yang dekat dengan rumah saya,” katanya yang tinggal di Paya Rambai di sini.
Seorang usahawan dari bandar ini, Azhar Mustapha, 46, pula memuji langkah kerajaan memberi peluang kepada klinik swasta sebagai pusat pemberian vaksin kepada orang ramai.
Katanya, tumpuan orang ramai yang mendapat temu janji di klinik swasta tidak terlalu ramai kerana jumlahnya sudah ditentukan berbanding pusat pemberian vaksin kerajaan yang lebih ramai bilangan penerima vaksin.
“Kerajaan memberikan kemudahan terbaik dengan memberi peluang kepada klinik swasta melaksanakan proses pendaftaran dan pemberian suntikan vaksin kepada orang ramai selain PPV sedia ada di negeri ini,” katanya.