MACHANG | Seorang pesakit buah pinggang kronik mengharapkan simpati ramai untuk menyediakan bilik rawatan ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD)’ untuk dirinya.
Mohd Zakri Haron,52, dari Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong itu tidak mampu menyediakan kelengkapan sendiri kerana kekangan kewangan dihadapi keluarganya.
Apatah lagi bapa lima anak itu juga kini terpaksa bergantung kepada isterinya yang menjual sayur dan ikan di sekitar kampung dibantu anak sulungnya berusia 20 tahun juga merupakan penuntut UiTM untuk mencari rezeki.
“Penyakit buah pinggang saya sudah ditahap kronik. Jadi bilik rawatan ini perlu disegerakan bagi membolehkan saya menjalani rawatan CAPD di rumah,” katanya yang kini berkerusi roda.
Kesempitan keluarga tersebut mendapat perhatian Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang mana telah melancarkan tabung derma kilat untuk menyegerakan penyediaan bilik rawatan terbabit.
Sekurang-kurangnya, RM4,450 diperlukan untuk menampung keperluan keluarga tersebut.
Sumbangan berkenaan adalah membabitkan RM2,000 dikhaskan untuk penyediaan bilik termasuk pemasangan struktur dinding, siling asbestos, pintu dan sistem air masuk.
Sementara RM2,050 lagi diperlukan untuk pemasangan sinki dan kepala paip khas, drip stand, pendawaian dan alat penghawa dingin
Seterusnya RM500 pula perlu dikumpulkan untuk pemasangan gelung konkrit dan tandas duduk.
Bilik khas berkenaan akan dibina setelah berjaya mengumpulkan dana yang diperlukan.
Bagi mereka yang ingin sama-sama membantu keluarga ini, mereka boleh menyalurkan kepada persatuan di akaun CIMB (8602 4983 68).