KUALA LUMPUR | Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani supaya mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang ditahan kerana disyaki berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang, Selasa lalu.
Lapor Bernama, Hamzah berkata, individu seperti itu tidak seharusnya berada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Saya sudah memaklumkan kepada Acryl Sani supaya tindakan tegas diambil terhadap pegawai seperti ini, kami sudah memberikan amanah kepada PDRM dan mereka melanggarnya, pada saya individu seperti ini tidak harus ada dalam pasukan.
“SOP bukan hanya terpakai kepada rakyat saja, tetapi untuk semua peringkat masyarakat, sebab itu ramai menteri juga dikenakan kompaun,” katanya selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP di sekitar Bukit Kiara dan Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Bernama pada Rabu lalu melaporkan, empat anggota polis termasuk seorang Ketua Balai berpangkat Sub Inspektor, ditahan bersama empat wanita ketika mereka sedang berhibur dalam bilik khas di balai polis berkenaan ketika serbuan dilakukan pada jam 6 petang, Selasa lalu.
Ketika serbuan, polis turut merampas beberapa botol disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.
Semua anggota polis terbabit kini digantung kerja sementara siasatan dijalankan.