By Nik Amir
KOTA BHARU | Marco Ragini mengingatkan barisan pemain Kelantan FC tidak memandang rendah apabila berdepan Skuad Projek FAM-MSN pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang esok.
Ketua Jurulatih Kelantan FC itu berkata, kemenangan 2-1 yang diraih pasukannya pada pusingan pertama merupakan kejayaan sukar setelah mereka terpaksa menunggu gol kedua sehingga minit akhir permainan.
“Saya telah bercakap dengan pemain mengenai pertemuan ini dan seperti perlawanan lain, ia sangat penting dan saya ingatkan mereka dalam pusingan pertama, dua pasukan yang memberi kesukaran kepada kami adalah Skuad Projek (FAM-MSN) dan TFC II (Terengganu FC II).
“Jadi kami perlu berhati-hati, mungkin orang anggap ia satu perlawanan yang mudah tetapi pada pandangan saya ia tidak benar, skuad itu memiliki pemain muda yang bagus dan begitu dahaga (kemenangan),” katanya kepada JournalMalaysia, hari ini.
Pengendali import dari San Marino itu mengakui telah membuat analisa berdasar rakaman video membabitkan skuad kendalian Yusri Che Lah dan terbukti mereka melakukan perubahan lebih tersusun daripada segi taktikal.
“Mereka sangat bagus dari segi teknikal dan kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata. Saya boleh katakan ia perlawanan yang cukup berbahaya buat Kelantan FC sekiranya pemain memandang rendah lawan.
“Mereka perlu beri 200 peratus bermula awal permainan dan fokus sepenuhnya. Saya tahu dalam aksi terdahulu (seri 1-1 dengan Perak FC II) kami mungkin boleh menang tetapi itu cerita lain, kami harus beri perhatian untuk memenangi pertemuan ini,” kata pengendali berusia 54 tahun itu.
Dalam pada itu, Ragini menjelaskan barisan kejurulatihan pasukannya bekerja keras setiap hari bagi memperbaiki kelemahan selepas kempunan mengutip mata penuh di Ipoh, minggu lalu.
“Mengenai kesebelasan utama pasukan, saya akan menilai prestasi semasa pemain dalam sesi latihan terakhir sebelum memutuskan perkara ini.
“Saya perlu membuat pertimbangan sewajarnya kerana selepas tiga hari kami akan menghadapi satu lagi perlawanan, ia telah menjadi trend sehingga akhir musim, banyak perlawanan dengan tempoh masa singkat,” tambahnya lagi.