By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Semua pihak diminta tidak berputus asa untuk terus berikhtiar bagi menamatkan penularan wabak COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, wabak itu adalah satu ujian daripada Tuhan.
Katanya, dalam Islam juga dianjurkan untuk terus bersabar, reda dan berikhtiar bagi memulihkan keadaan kepada sedia kala.
“Sebagai manusia biasa, kita berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak berjalan di seluruh negara dapat menjadi ikhtiar demi melindugi rakyat serta ancaman daripada wabak COVID-19.
“Saya doakan semangat kerjasama dan perpaduan ini dapat dikekalkan,” katanya menerusi Program Malaysia Berzikir Bersama Perdana Menteri.
Turut hadir dalam program bersiaran langsung secara maya itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, amalan berzikir sangat dituntut bukan saja untuk mengukuhkan aspek kerohanian, tetapi seiring dengan sikap bertawakal kepada-Nya.