By Nor Shazleza Shahril
KAMPAR | Seorang lelaki rentung manakala isterinya cedera dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Jalan Kampung Padang Tembak, Taman Puncak Kampar, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, lelaki berusia lingkungan 50 tahun dikenalpasti sebagai Ahmad Busir Ghazali, rentung dalam kebakaran itu manakala isterinya, Ngah Dimah Tamin berusia 60-an dihantar ke hospital kerana mengalami sesak nafas.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.48 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dengan bantuan BBP Tapah digegaskan ke tempat kejadian.
“Kebakaran itu membabitkan tiga rumah berkeluasan 20×30 kaki persegi yang mana rumah pertama didapati mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus, rumah kedua 80 peratus dan rumah ketiga pula sebanyak 40 peratus.
“Dua aliran hos berkepanjangan 91 meter dengan tiga pancutan dari tangki air jentera bomba digunakan sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. Operasi tamat jam 3.33 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.