KUALA LUMPUR | Parlimen Malaysia memutuskan jumlah agensi berita dan pengamal media dihadkan kepada 72 orang sahaja untuk melakukan liputan ketika sidang khas yang bermula 26 Julai nanti.
Parlimen dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata, jumlah pengamal media terpaksa dihadkan demi menjaga kebaikan dan kesejahteraan semua pihak di kawasan Parlimen.
“Antara agensi yang dibenarkan hadir di bangunan parlimen membabitkan empat media rasmi antara RTM, Bernama, Jabatan Penerangan Malaysia dan Finas.
“Selain itu, sebanyak 15 agensi lain turut dibenarkan antaranya, Tv Al-Hijrah, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, The Star dan beberapa agensi lain,” katanya.
Kenyataan itu berkata lagi, Sekretariat Parlimen Malaysia mengambil kira keluasan liputan agensi-agensi berkenaan untuk menjamin liputan sidang khas yang bermutu yang boleh diikuti oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, ini demi memenuhi kehendak kebebasan media dan kebebasan bersuara seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun kehadiran pihak media secara fizikal di Bangunan Parlimen adalah terhad, namun Parlimen Malaysia akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.
“Sidang media dan temu bual secara maya akan dapat memberi peluang kepada semua pengamal media yang tidak dapat hadir secara fizikal di Bangunan Parlimen untuk mengambil bahagian di dalam semua sidang media ataupun temu bual yang mungkin diadakan oleh mana-mana Ahli Parlimen ketika sidang khas diadakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Parlimen Malaysia turut menyediakan satu bilik khusus yang akan menempatkan dua buah komputer berserta kelengkapan audio visual dengan pautan Zoom khas.
Katanya, pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen sekiranya ingin mengadakan sesi interaktif bersama mana-mana Ahli Parlimen Dewan Rakyat.
“Begitu juga sebaliknya, mana-mana Ahli Parlimen Dewan Rakyat juga boleh berbuat demikian untuk berinteraksi secara eksklusif dengan mana-mana wakil media sama ada secara berkumpulan atau individu (one to one).
“Sementara itu, liputan sidang media secara langsung melalui YouTube Live Stream di pusat media pada kali ini akan diberi sentuhan pembaharuan dengan memperkenalkan inovasi di mana wartawan yang berada di luar Bangunan Parlimen juga boleh turut hadir secara maya dengan capaian aplikasi Zoom yang akan disediakan,” katanya.