SHAH ALAM | Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan menzahirkan penghargaan khas kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital-hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Negeri Selangor yang bertungkus-lumus bertugas pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.
Sehingga 21 Julai, kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh 1 dos suntikan telah mencecah 46.9 peratus atau 2.95 juta dos. Manakala, 15.27 peratus rakyat Selangor telah melengkapkan dos vaksinasi masing-masing.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office baginda bertitah, kadar vaksinasi COVID-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian sehari (pada 21 Julai 2021).
Baginda berbangga dengan kegigihan pihak terlibat dalam usaha mempercepat suntikan vaksin kepada rakyat negeri itu dan mendoakan agar pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.
Dalam pada itu, Baginda menyeru umat Islam di seluruh Selangor agar menghayati dan memahami intipati Khutbah Aidiladha yang memberi penekanan kepada mengukuh perpaduan dan persaudaraan ummah.
“Khutbah Aidiladha bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam : Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’, disampaikan oleh khatib pada 20 Julai 2021.
“Antara yang boleh diambil iktibar ialah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar kita untuk terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.
“Ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT,” tulis kenyataan itu.
Baginda bertitah, begitu juga dengan ibadah korban, hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah ini mengajar untuk saling bermuafakat, bantu-membantu antara satu sama lain sekali gus dapat mengukuh persaudaraan.
Titah baginda, sebagai umat Islam yang bersaudara, seharusnya mengelakkan persengketaan, jauhi fitnah dan berburuk sangka.
“Rasulullah SAW pernah bersabda:
‘Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur saudaranya lebih daripada tiga hari’.
“Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh-musuh Islam,” kata kenyataan itu.