MINA: Ibadah haji sudah melabuhkan tirainya dan segala kenangan manis akan terpahat di hati semua pada jemaah sampai bila-bila.
Lapor Arab News, pihak berkuasa keselamatan dan kesihatan Arab Saudi mengesahkan ibadah haji tahun ini berjalan lancar dan tiada kes kesihatan serius termasuk sakit kronik dilaporkan.
Di sebalik kelancaran keselamatan dan kesihatan, segelintir jemaah mengadu mereka tidak berpuas hati dengan kualiti makanan yang dihidangkan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi Twitter memberitahu, perkara itu dimaklumkan menerusi pemeriksaan kualiti makanan di beberapa kem haji.
Sehubungan itu, kementerian memberi jaminan akan mengenakan penalti terhadap pihak yang berkaitan.
“Kami juga akan menilai semua syarikat penyedia makanan yang terlibat, selain lesen akan ditarik semula.
“Sepatutnya, perkhidmatan dan kualiti yang disediakan oleh syarikat swasta harus selaras dengan kualiti yang disediakan oleh pihak berkuasa kerajaan untuk keselesaan jemaah,” jelas kementerian itu. SUMBER: AGENSI