by Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Seramai 85 Orang Kurang Upaya (OKU) lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dalam Program Vaksinasi Outreach COVID-19 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kok Lanas, di sini, hari ini.
Ini antara inisiatif pihak PPDK bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Pengerusi PPDK Kok Lanas, Dr. Hasbullah Seman, 53, berkata, mereka merupakan pelatih bagi PDK Kok Lanas dan PDK Kem Desa Pahlawan yang hadir bagi melengkapkan vaksinasi sambil ditemani ibu bapa masing-masing.
“Kesemua mereka ini hadir bagi melengkapkan dos kedua, manakala dos pertama telah diberikan pada 3 Julai yang lalu bertempat di PDK Kok Lanas di sini.
“PDK Kok Lanas dipilih sebagai tempat vaksinasi bagi golongan istimewa ini kerana di sini adalah tempat pembelajaran mereka sebelum COVID-19 melanda seluruh negara dan di sini juga adalah sekolah bagi mereka menimba ilmu serta melakukan aktiviti harian.
“Disebabkan mereka sudah biasa dengan persekitaran di sini, kami mengambil inisiatif untuk menjalankan program vaksinasi di PDK Kok Lanas dengan persetujuan semua pihak,” katanya ketika ditemui di PPDK Kok Lanas, di sini.
Sementara itu, bagi ibu bapa golongan istimewa ini pula, rata-rata daripada mereka amat berterima kasih kepada pihak kerajaan dan KKM serta yang terlibat dalam menjayakan program vaksinasi tersebut.
Rohida Hassan, 57, berkata, penganjuran seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kemudahan kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak OKU mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19.
“Pada pandangan saya pihak PPDK sangat prihatin dengan anak istimewa ini kerana menganjurkan program vaksinasi di tempat mereka belajar dan ia sebenarnya memberi kemudahan kepada ibu bapa untuk ke sini.
“Saya berharap agar pihak PPDK di tempat lain juga dapat mencontohi program seperti ini agar golongan OKU turut mendapatkan vaksin selain dapat menghindarkan diri dari COVID-19,” katanya.
Bagi penerima vaksin, Mohd Aqif Syahid Mohd Ghazali, 25, berkata dia sangat teruja untuk melengkapkan 2 dos vaksin COVID-19 ini.
“Ok sangat lepas dah cucuk ni, datang dengan abah pagi tadi. Datang sini jam 8 pagi tadi. Terima kasih PPDK sebab anjur program seperti ini,” katanya.