KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan takziah kepada seluruh keluarga Datin Latifah Sidek yang kembali ke Rahmatullah semalam.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah Latifah, isteri legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” doa Baginda berdua.
Isteri kepada kepada legenda badminton negara, itu meninggal dunia, jam 8.15 malam tadi.
Berita sedih itu dikongsikan di akaun Facebook Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican.
Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Misbun Sidek pada tahun 1987.
Mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.