PUTRAJAYA | Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan ke atas helikopter dipercayai milik syarikat swasta yang mendarat di Padang Majlis Bandaraya Ipoh, Perak
pagi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo berkata, siasatan awal mendapati helikopter berkenaan berlepas pada jam 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang Jaya.
Katanya, helikopter itu ke Ipoh dan kembali ke LTSAS pada jam 11.02 pagi seperti yang difailkan dalam penerbangan.
“CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan arahan penerbangan awam (CAD).
“CAAM juga membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat dalam melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang dilulusakan atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, CAAM ingin menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti yang tertakluk.
Katanya, CAAM akan memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam.
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kejadian itu dan mendapati helikopter berkenaan hanya diberi kebenaran untuk mendarat di LTSAS.
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan tuduhan yang tular yang mendakwa beliau ke Ipoh untuk membeli nasi ganja dengan menggunakan sebuah helikopter.