KOTA BHARU | Dua kluster rentas negeri direkodkan di Kelantan semalam.
Kluster berkenaan ialah Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok, Machang itu membabitkan daerah Machang dan Kota Bharu serta Kluster Kerilla yang membabitkan daerah Tanah Merah dan Klang, Selangor.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok tercetus daripada sekumpulan peniaga durian yang merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor untuk mendapatkan dan menghantar bekalan raja buah itu.
Katanya, setakat semalam, kluster berkenaan mencatatkan 12 kes positif hasil daripada 38 individu yang disaring.
“Kes indeks kluster itu membabitkan remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan positif pada 18 Julai lalu dan mula bergejala pada 15 Julai.
“Remaja itu mempunyai sejarah merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor pada 10 hingga 15 Julai untuk mengambil dan menghantar bekalan durian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Kluster Kerilla tercetus daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang dilaporkan positif pada 22 Julai yang mempunyai sejarah merentas negeri dari Selangor ke Kelantan pada 11 Julai untuk menghadiri majlis pengebumian adiknya sebelum pulang ke Selangor pada 15 Julai.
“Hasil ujian saringan 23 individu mendapati sembilan daripadanya positif,” katanya.
Dr Zaini menasihatkan masyarakat supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes masih lagi tinggi dan meningkat di Kelantan serta virus berada dalam komuniti.
Negeri Kelantan semalam merekodkan enam kluster baharu dalam komuniti dan 372 kes baharu.