PUTRAJAYA | Pejabat Ketua Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan bahawa Garis Panduan Penghukuman Menggunakan Teknologi Artificial Intelligence (Garis Panduan Al) hanya sebagai suatu panduan dan rujukan Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret semasa proses menjatuhkan hukuman.
Pejabat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada laporan media bertarikh 24 Julai 2021 bertajuk “Malaysian Bar troubled over judges using Al for sentencing”.
Katanya, semasa kerja-kerja untuk kajian bagi membangunkan Garis Panduan Al ini dimulakan, Pejabat ini telah mengadakan sesi libat urus bersama Majlis Peguam pada 25 Februari 2020.
“Sesi libat urus turut diadakan dengan pemegang-pemegang taruh yang lain.
“Justeru, pembangunan Garis Panduan Al ini telah mengambil kira semua isu yang dibangkit oleh pemegang taruh semasa sesi libat urus tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu berkata lagi, dimaklumkan juga bahawa rujukan kepada Garis Panduan Al ini tidak sekali-kali akan menghakis kuasa budi bicara kehakiman seseorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret dalam membuat keputusan.
Katanya, hasil keputusan yang dipaparkan menerusi carian dalam Garis Panduan Al ini juga tidak akan mengikat mana-mana Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.
“Pada masa ini, Garis Panduan Al masih dalam proses pembangunan menerusi projek rintis di Mahkamah Kuala Lumpur dan Mahkamah Shah Alam.
“Pembangunan Garis Panduan Al dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan April 2022. Sehubungan dengan itu, Pejabat ini sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada semua pemegang taruh bagi memastikan keberkesanan penggunaan Garis Panduan AI ini dan seterusnya memperkasakan penyampaian pentadbiran keadilan,” katanya.