KUALA LUMPUR | Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun.
Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri telah bersetuju melantik beliau sebagai Ahli JKMR bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.
Surat pelantikan tersebut yang ditandatangani Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki itu dikongsikan beliau menerusi facebooknya.
“Petang tadi menerima surat perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.
“Doakan saya dapat melaksanakan amanah ini dengan baik demi agama dan negara.
“Rasuah amalan yang tidak boleh dikompromi. Runtuh negara dan hina satu bangsa kerana rasuah,” tulis beliau.
Pelantikan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta 694.
Penyerahan Surat Cara Pelantikan akan berlangsung pada 26 Julai ini jam 10 pagi di Bilik Kunjungan Hormat Aras 1, Blok Utama Parlimen Malaysia.
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Selangor mengucapkan tahniah kepada Idris atas pelantikan tersebut.
“Kami sentiasa mendoakan agar berikan kekuatan dan kesabaran untuk melaksanakan amanah ini dengan baik demi agama dan negara,” katanya.