KUALA LUMPUR | Individu berusia 51 tahun dan ke atas perlu berhati-hati kerana mereka ‘golongan berduit’ yang merupakan mangsa paling tinggi direkodkan menjadi sasaran penipuan oleh ‘macau scam’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada 5,535 mangsa yang terlibat sepanjang tahun 2019 hingga Jun 2021, individu lingkungan 51 tahun dan ke atas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,621 orang atau 29.3%.
Menurutnya, sebanyak 17.8% mangsa adalah dalam lingkungan umur 41 hingga 50 tahun, 31 hingga 40 tahun (25.3%), 21 hingga 30 tahun (26.2%) dan bawah 20 tahun (1.5%).
“Berpandukan kepada analisis yang dijalankan, pihak polis percaya golongan yang berusia 51 tahun dan ke atas cenderung untuk menjadi mangsa penipuan kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kess penipuan yang berlaku.
“Ditambah dengan kedudukan ekonomi
golongan ini yang lazimnya telah mempunyai aliran kewangan yang stabil, mempunyai wang simpanan untuk hari tua mahupun wang persaraan, peratusan untuk mereka menjadi mangsa penipuan adalah lebih tinggi,” katanya dalam sayu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis melihat perlunya komunikasi dalam kalangan ahli keluarga dalam usaha menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.
“Ahli keluarga khususnya anak-anak hari ini yang mempunyai pendedahan langsung dengan maklumat di media soial adalah disarankan untuk memaklumkan pengetahuan yang diperolehi kepada ibubapa agar mereka turut cakna dengan situasi semasa,” katanya.
Katanya, adalah diharapkan, melalui peranan yang dimainkan setiap daripada kita, kes-kes jenayah penipuan khususnya macau scam dapat dicegah dan dihapuskan.
Katanya juga, sepanjang tahun 2019 hingga 2021 (januari hingga jun), sejumlah 5,527 kes penipuan “macau scam telah direkodkan
jabatan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327,910,835.05.
“Sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM12,855,100.39. 2,247 kes pada tahun 2020 dengan nilai kerugian RM172,710,823.64.
“Sebanyak 814 kes sepanjang januari hingga Jun 2021 dengan nilai kerugian RM33,344,911.02,” katanya.