SHAH ALAM | Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melaksanakan perkhidmatan secara penyumberluaran (outsourcing) sebagai langkah menghadapi lebihan kapasiti pesakit Covid-19.
Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata khidmat outsourcing itu membabitkan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta terutamanya bagi pesakit kategori tiga dan ke atas.
Menurutnya, selain membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital pihaknya juga ingin memastikan pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya terutama kepada pesakit Non Covid.
“Jabatan ini akan memantau pelaksanaan Outsourcing ini mengikut tatacara yang telah disedíakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk kriteria pemilihan pesakit dan hospital swasta yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab tular dengan memaklumkan status semasa keadaan hospital di Negeri Selangor terutama di Hospital Serdang susulan daripada gambar viral keadaan pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap hospital juga telah mengoptimakan penggunaan fasiliti sedia ada di hospital seperti dewan bedah, klinik, dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
“Penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara juga dilaksanakan dikebanyakan Jabatan Kecemasan di Negeri Selangor.
“Gambar keadaan Hospital Serdang yang telah viral itu menunjukkan keadaan Jabatan Kecemasan sementara menunggu beberapa peralatan kemudahan tiba di Hospital Serdang termasuk menyediakan khemah lengkap dengan penyaman udara dan kipas,” katanya.
Namun katanya, kerja menyiapkan khemah bagi menempatkan pesakit COVID-19 yang dilengkapi dengan kemudahan penyaman udara, kipas, kemudahan air bersih (water dispenser),tandas dan elektrik yang lengkap telah siap pada 21 Julai lalu.
“lanya menambahkan 81 katil tambahan seperti dalam gambar-gambar,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang optima kepada pesakit.
“Pihak kami juga menyeru kepada semua orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP sebagai normal baharu,” katanya.