KUALA LUMPUR | Kerajaan telah membelanjakan RM3.5 bilion bagi pembelian vaksin dan menambah RM1 bilion bagi usaha mempercepatkan proses vaksinasi.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk RM400 juta untuk pembelian vaksin, RM200 juta bagi meningkatkan kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV) dan program ‘outreach’ RM200 juta untuk meningkatkan elaun harian petugas kesihatan dan sukarelawan.
Katanya, pada 22 Julai, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan angka tertinggi setakat ini bagi jumlah pemberian vaksin harian iaitu 507,050 dos.
Katanya, merujuk kepada perkembangan itu, Insya-Allah, kerajaan menyasarkan imuniti kelompok 100 peratus dapat dicapai menjelang akhir Oktober 2021.
“Malaysia juga kini antara negara yang tertinggi bagi jumlah pemberian vaksin.
“Peningkatan kadar vaksinasi ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV seluruh negara, rakyat yang mendaftar untuk vaksinasi, serta kerajaan yang terus menyokong dan menambah baik inisiatif berdasarkan kesesuaian semasa. Ayuh kita teruskan momentum ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.