KUALA LUMPUR | Sebanyak 49 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan dilakukan susulan 80,868 pemeriksaan dan snap check Covid-19 dijalankan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara semalam.
Katanya, seramai 19,168 anggota terbabit dalam pemeriksaan itu termasuk terhadap 1,905 kilang, 14,249 premis perniagaan, 742 tapak pembinaan dan 270 buah asrama penempatan pekerja.
“Kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 80,868 pemeriksaan semalam.
Katanya, ia melibatkan 4,234 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,168 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semalam, 337 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 332 individu dikompaun dan lima direman.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.
Tamat