PUTRAJAYA | Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperhebatkan program MAFI Prihatin melibatkan kerjasama strategik bersama pihak swasta.
MAFI dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya melalui jabatan dan agensi di bawahnya serta dengan kerjasama strategik pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang pastinya akan membolehkan lebih ramai lagi golongan memerlukan mendapat manfaat serta menerima bantuan.
“Prihatin dengan situasi semasa negara dan kesejahteraan rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19, program MAFI Prihatin diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan whole-of-nation dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19,” katanya.
Semalam juga, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar.
Pelbagai barangan keperluan harian disumbangkan termasuk beras, minyak, gula dan lain-lain serta pelitup muka (face mask) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM205,400.
Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd dan YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd.
Selain itu ia turut melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group
Sdn.I Bhd.
Simbolik penyerahan telah disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani.
Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.
MAFI dalam satu kenyataan berkata, sejak 1 Jun hingga 18 Julai lalu, sebanyak 59,816 orang penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin melalui 264 program anjuran MAFI di seluruh negara yang melibatkan nilai bantuan RM 5.2 juta.
Menurut kenyataan itu, bantuan melalui MAFI Prihatin juga telah diberikan kepada golongan terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) memerlukan.
“Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak Januari lalu bertujuan membantu golongan sasar terkesan pandemik COVID-19 disamping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik melalui sumbangan bantuan in-kind dalam bentuk barangan keperluan harian, barangan makanan dan sebagainya,” kata kenyataan itu.
Bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).