KUALA TERENGGANU | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu berjaya menahan empat bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan merompak hasil laut negara, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua bot tersebut ditahan oleh kapal peronda KM NUSA yang sedang dalam penugasan OP KUDA LAUT di kedudukan sekitar 91 hingga 95 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Beliau berkata, tangkapan dibuat berikutan maklumat pengesanan oleh Pusat Operasi Maritim Terengganu (PUSOP) berkaitan kehadiran bot-bot mencurigakan di sekitar sempadan perairan negara.
Katanya, maklumat berkenaan telah disalurkan kepada KM NUSA dan terus menuju ke lokasi yang dilaporkan bagi melaksanakan pengesanan serta pemeriksaan fizikal.
“Keempat-empat bot berjaya ditahan sekitar jam 5.00 petang semalam. Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot terbabit tidak berdaftar di Malaysia serta kesemua 48 kru beserta tekong berusia lingkungan 16 hingga 68 tahun, merupakan warga Vietnam serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut. Empat bot, hasil laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan telah dirampas, dengan anggaran nilai keseluruhan RM6 juta,” katanya dalam satu kenyataan media.
Muhammad Suffi berkata, semasa mengiringi bot-bot tahanan ke Jeti Maritim Terengganu, seorang tekong nekad terjun ke laut bagi mengelakkan daripada ditahan serta didakwa.
Katanya, namun tekong tersebut berjaya dijumpai dan diberkas semula.
“Proses menunda bot-bot tahanan mengambil masa hampir 39 jam berikutan angin kencang serta laut bergelora.
“Bot serta tahanan tiba di jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 10.00 pagi tadi dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Beliau berkata, Op Kuda Laut yang dilaksanakan sejak 26 Jun tahun lepas berjaya menahan sebanyak 112 bot nelayan asing yang melibatkan seramai 1195 warga asing. Anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM168 juta.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.
“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim, justeru itu kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09- 6223657,” katanya.