KUALA LUMPUR | Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama berikan sokongan kepada Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata, perjuangan atlet ini membawa harapan dan semangat semua rakyat demi negara yang tercinta.
“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama memberikan sokongan kepada Kontinjen Malaysia.
“Perjuangan mereka ini membawa harapan dan semangat kita semua demi negara yang tercinta.
“Perjuangan ini tentu sekali membawa sebuah harapan yang amat-amat bernilai buat kita semua. Demi Malaysia,” katanya menerusi rakaman video di laman Twitternya di sini.
Beliau berkata, ini adalah momen untuk rakyat Malaysia mara bersama-sama dalam satu suara. Sokongan semua, azimat dan kekuatan buat mereka.
Sementara itu, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memberi sokongan kepada semua 30 atlet negara.
“Selamat berjuang buat semua 30 atlet dan seluruh kontinjen Malaysia. Jaga diri,” katanya.