KUALA LUMPUR | Penerima vaksin COVID-19 yang mengesyaki mereka menerima suntikan vaksin kosong, boleh membuat laporan polis di balai berdekatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan tersebut.
“Ekoran kenyataan media yang dikeluarkan semalam, kami menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin COVID-19.
“Untuk itu, mereka boleh membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Beliau berkata, bagi kejadian penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran secara atas talian juga boleh aduan kepada pihak polis.
“Siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil termasuk usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut pelan imunisasi Kebangsaan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan iaitu menipu,” katanya.
Abd Jalil berkata, sehingga kini polis masih belum mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya.
Ujarnya lagi, penerima yang gelisah dan merasa gelisah dan merasa terpedaya, mereka boleh membuat ujian ‘Covid neutralizing antibody test’ di makmal perubatan yang berlesen 30 hari selepas suntikan dos kedua.