PUTRAJAYA | Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam fasa akhir membuat penelitian berkait dengan isu pertukaran guru.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementerian menyedari isu terbabit sudah berlarutan bertahun lamanya.
“Saya menerima pelbagai komen dan mesej berkaitan dengan permohonan pertukaran guru.
“Ada yang bertanya, apakah KPM tiada pendekatan baharu berhubung dasar pertukaran guru? Ya, kami sedar perkara ini telah berlarutan bertahun lamanya.
“Untuk makluman, satu pendekatan yang lebih efisien dan menyeluruh berhubung perkara ini kini berada dalam fasa akhir penelitian Kementerian,” tulis beliau menerusi facebooknya hari ini.
Mohd Radzi juga memaklumkan, apa yang penting, dalam menimbang permohonan pertukaran guru, KPM perlu memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Ini bermaksud, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di negeri dan di tempat yang dimohon merupakan pertimbangan utama.
“Dari pagi tadi saya meneliti dokumen dan juga berbincang berkaitan hal pertukaran guru ini.
“InsyaAllah, KPM akan terus ikhtiarkan yang terbaik demi masa depan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya.
Tulis beliau juga, “Apa yang penting, teruslah beri kepercayaan kepada kami! Yakinlah, kami sentiasa junjung amanah yang diberikan dengan sehabis baik.”