KUALA LUMPUR | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi peruntukan berjumlah lebih RM7 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) menerusi langkah di dalam Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan peruntukan itu bagi membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urus tadbir pertubuhan belia bagi tahun 2021.
“Sebagai satu lagi langkah di dalam IPBS, peruntukan berjumlah RM7,081,000 akan diberikan kepada MBM.
“Peruntukan itu diberi kepada MBM dan 145 pertubuhan belia iaitu 19 Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan, 106 Majlis Belia Daerah, 14 Majlis Belia Negeri dan enam Pertubuhan Badan Beruniform.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada MBM sempena sambutan Ulang Tahun ke-73 MBM yang juga disambut semalam,” katanya menerusi laman Twitternya di sini.
Katanya, beliau amat menghargai pelbagai usaha, inisiatif serta program yang dilakukan oleh MBM yang banyak memberi manfaat kepada belia di negara ini.