KLANG | Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Selangor merampas rokok dan bedak di sebuah gudang di Taman Klang Jaya, Klang, Selangor, Khamis lalu.
Serbuan jam 10.45 pagi oleh pasukan PPM Pelabuhan Klang itu menerusi Ops Kontraband yang merampas sejumlah 263,900 karton rokok serta 249,624 botol bedak
Komander PPM Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, sebelum serbuan pihaknya menerima satu maklumat berkenaan sebuah gudang yang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan serbuan telah pergi ke lokasi gudang, namun tiada sesiapa di dalam gudang terbabit dan dipercayai kesemua pekerja telah melarikan diri dari gudang tersebut.
“Ketika permerikasaan dijalankan ke atas gudang itu mendapati terdapat sebuah kontena yang berisi rokok yang tidak bercukai serta kotak yang berisi bedak yang dipercayai tidak mempuyai kelulusan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Kita turut merampas lori kontena itu. Kesemua nilai rampasan berjumlah RM9 juta dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia serta Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.