By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Kerajaan memperuntukan RM30 juta bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang telah kehilangan pekerjaaan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi laman Facebook memaklumkan peruntukan itu bagi membantu 20,000 OKU yang bukan penerima Elaun Penerima Cacat.
Katanya, pandemik COVID-19 ternyata memberi kesuraman sehingga ke peringkat global.
“Secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada ekonomi negara dan seluruh lapisan masyarakat.
“Menyedari keadaan ekonomi telah menjejaskan pendapatan ekonomi khususnya golongan OKU, kerajaan telah memperuntukkan bantuan kepada golongan itu yang telah kehilangan pekerjaaan.
“Sebanyak RM500 seorang akan diberikan untuk tempoh tiga bulan kepada golongan OKU dengan melibatkan perbelanjaan yang berjumlah RM30 juta,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Menurutnya, seramai 20,000 OKU yang bukan penerima Elaun Penerima Cacat dijangka akan menerima manfaat ini.