SARATOK | Seramai 44,000 penduduk daerah Saratok, di Sarawak telah menerima suntikan vaksin, kata Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.
Beliau berkata, darilada jumlah tersebut seramai 25,906 penduduk sudak mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Katanya, daripada jumlah itu juga sebanyak 18,681 telah menerima dos kedua.
“Ini bermakna 42.45 peratus (%) daripada lebih kurang 44, 000 penduduk Saratok yang layak divaksin, telah divaksinasi sepenuhnya.
“Namun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kadar vaksinasi peringkat Negeri yang pada tahap 47.3 % dengan seramai 967, 201 telah mendapat dos lengkap,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ali berkata, Parlimen Saratok mempunyai dua pusat pemberian vaksin (PPV) utama iaitu dewan Sri Krian dan dewan Balai Polis Kabong yang telah mencapai kapasiti 600 dan 400 pemberian vaksin setiap hari.
Katanya, selain daripada itu, Klinik PMG dan Klinik Welcare yang berada di Pekan Saratok juga turut digunakan sebagai PPV kecil dan juga Hospital Saratok.
“Salah satu strategi Pejabat Kesihatan Daerah Saratok adalah menubuhkan Pasukan Imunisasi Bergerak yang akan masuk ke kawasan pedalaman yang sukar di akses termasuk mewujudkan “Mini PPV” di Klinik – Klinik kecil seperti Klinik Ng Budu, Klinik Ng Atoi, Klinik Kabong dan Klinik Nyabor.
“Berdasarkan beberapa tinjauan yang telah saya lakukan pada bulan lepas, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan Parlimen Saratok berjalan dengan lancar dengan kerjasama daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama sekali Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.
Beliau berkatu, sasaran pihaknya pada peringkat Negeri adalah untuk memastikan berjaya mencapai Imuniti Kelompok menjelang akhir bulan Ogos 2021.
Katanya, beliau berharap supaya di Saratok juga mampu mencapai sasaran tersebut.
“Dengan adanya varian-varian baru terutamanya Varian Delta yang lebih merbahaya dan cepat merebak, kita harus mencapai Imuniti Kelompok secepat mungkin kerana ianya adalah satu-satunya jalan keluar daripada pandemik ini dan supaya kehidupan boleh kembali seperti sediakala.
“Saya menyeru ketua kaum, ketua-ketua Masyarakat untuk saling sama berganding bahu dalam memastikan supaya PICK dapat mencapai sasaran dengan memastikan penduduk di kawasan masing-masing telah mendaftar dan berhubung terus dengan Pejabat Daerah atau Pusat Pemberian Vaksin yang terdekat untuk memastikan tiada yang tercicir.
“Saya ingin mengingatkan semua warga Saratok yang saya kasihi agar sentiasa menjaga kesihatan diri, kerapkan membasuh tangan, elakan berada ditempat yang sesak & sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi segala SOP kerana kita belum menang,” katanya.