PUTRAJAYA | Kunci di sebalik cabaran kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara dan peluang pekerjaan ekoran pandemik COVID-19 adalah terletak kepada vaksinasi.
Itulah yang ditekankan Menteri Kewangan Malaysia juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (MPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul berkata, begitu juga dengan usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan ia turut melibatkan program vaksinasi.
“Kunci pemulihan ekonomi dan pemulihan pasaran kerja adalah vaksinasi. Sekiranya kita berjaya mempercepatkan proses vaksinasi lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka semula.
“Secara automatik akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya dalam temubual secara maya menerusi AGENDA AWANI – Strategik Keluar Pandemik COVID-19 Secara Holistik.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan meneruskan program Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bertujuan untuk merangsang permintaan pekerjaan dalam kalangan majikan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpekerjaan dalam kalangan pencari kerja tempatan.
Selain itu, MySTEP atau Short-term Employment Programme dan Global Online Workforce (GLOW) PENJANA juga akan diteruskan oleh kerajaan.
“Kerajaan telah membuat pengumuman menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN) bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran dengan mewujudkan 500 ribu peluang pekerjaan.
“Setakat ini lebih 300 ribu pekerjaan telah diwujudkn dan melebihi unjuran asal,” katanya,
Katanya juga, isu penganguran dapat ditangani dengan pelbagai peningkatan inisiatif kemahiran dan latihan yang memastikan sentiasa dapat mengadaptasi kemahiran sejajar dengan perkembangan semasa,
“Bagi membantu rakyat mendapat pekerjaan sesuai serta melakukan persediaan bagi kerjaya masa hadapan mengikut permintaan industri, kita telah membuat program latihan yang lebih relevan untuk meningkatkan keboleh pasaran kerja,” katanya.