KUALA LUMPUR | Sebanyak 10 tan makanan disumbangkan kepada 2,500 buah keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tabuan Melayu, Kuching, Sarawak.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbangan itu disampaikan oleh wakilnya, Rahmat Sabang.
Katanya, sumbangan itu disampaikan kepada enam buah kampung di Tabuan Melayu, dengan jumlah penduduk lebih 10,000 orang.
“Saya berasa syukur setelah diberitahu sumbangan bantuan makanan sebanyak 10 tan dari saya telah selamat disampaikan kepada 2,500 buah keluarga yang terkesan akibat pelaksanaan PKPD di Tabuan Melayu, Kuching.
“Wakil saya telah membantu untuk menyampaikan sumbangan ini kepada enam buah kampung di Tabuan Melayu dengan jumlah penduduk lebih 10,000 orang.
“Antara kampung yang dikenakan pelaksanaan PKPD dalam kawasan Tabuan Melayu ini termasuklah Tabuan Lot, Tabuan Tengah, Tabuan Hilir, Tabuan Dani, Tabuan Cemerlang dan Tabuan Lama,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berharap sumbangan yang diberi sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban para penduduk di sini.